tagline musafir

Sepuluh sen dibelanjakan untuk kebaikan lebih baik daripada sejuta ringgit tetapi untuk kejahatan

Tuesday, September 6, 2011

Menampal batu hiasan dinding

بسم الله الرحمن الرحيم

Sebenarnya lebih sesuai saya istilahkan aktiviti saya kali ini, membaiki batu hiasan dinding di luar rumah saya, almaklumlah, batu asyik tertanggal je, main tampal je mamat indonesia ni, tak sampai beberapa bulan, tercabut dengan sendirinya. Setelah mendapat nasihat daripada abang ipar, maka saya memulakan kerja dengan membeli gam simen yang lebih berkualiti, 4 liter mix latex, batu-batu dekorasi tu memang dah ada spare bimbang kalau tertanggal atau rosak, kemudian membeli seliter clear coat untuk mengilatkan permukaan batu setelah ditampal dan stone cutter pula saya pinjam dengan abang ipar. Maka, ni kiranya DIY (do it youself) lah.

Dengan bismillah, saya mula membancuh simen+air+latex. Latex perlu dicampur agar simen melekat kuat pada batu dan dinding.

berkat melihat mamat indonesia menampal batu, maka saya mendapat sedikit ilmu untuk menampal sendiri batu dekorasi tersebut.  Walaupun gaya susunan tidak secantik pakar namun saya tetap berbangga dengan hasil kerja saya.

Setelah batu-batu itu ditampal, maka tiba masanya ia disapu dengan clear coat agar permukaan batu menjadi bersih dan berkilat.






bila dah siap tampal dan sapu clear coat, maka batu tersebut dibiarkan kering dan sapu lagi cleat coat 2 kali lagi...biar kering, lepas tu confirm berkilat memancor-mancor!



apa pun, nak buat perlukan duit .... so ongkosnya begini ya!

Batu Dekorasi (diperbuat drpd simen juga, batu ori mahal.) sekotak = RM47, lebih kurang 4 kaki persegi. RM47x7 = RM329.
Simen gam : 1 beg = RM18... rasanyalah...
latex : 4 liter = RM25
clear coat : lupa...

Semoga keindahan itu membuatkan kita sentiasa bersyukur dengan Allah yang sentiasa memberikan nikmat mata dan jiwa yang tenang kepada kita...selamat mencuba ;)





Wednesday, August 17, 2011

Hakikat Ramadhan


Assalammualaikum w.b.t,

Alhamdulillah, segala puja dan sembah hanyalah untuk Allah yang telah merahmati kita dengan mengurniakan satu bulan keampunan, Ramadhan yang penuh berkat, keberkatan dengan adanya satu malam yang lebih baik ganjarannya daripada 1000 bulan, jua kerana turunnya mukjizat terbesar buat Rasulullah s.a.w iaitu Al-Quran yang mulia berupa kata-kata Allah yang penuh hikmah, menjadi petunjuk kepada seluruh manusia tidak kira apakah pangkatnya atasan atau bawahan, apakah status sosialnya kaya ataupun miskin, bangsawan ataupun marhaen, apakah status agamanya muslim atau kafir, semuanya tertakluk di bawah petunjuk Al-quran yang satu ini, yang menerangkan secara membezakan apakah itu kebenaran dan apakah ia kebatilan sepertimana firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 :

Maksudnya : “ (Masa yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar Dengan yang salah.”

Para pembaca yang dirahmati Allah azzawajalla,

Madrasah Ramadhan menawarkan satu pakej pembelajaran berkesan dengan matlamat untuk melahirkan umat Islam yang bertaqwa dan bersyukur. Bertaqwa dalam erti kata menunaikan segala perintah Allah seperti solat, puasa dan zakatdan seumpamanya, dalam masa yang sama meninggalkan segala larangannya seperti tidak berpuasa, menipu dalam berjual beli, tidak menutup aurat dengan sempurna, menyakiti saudara seagama dengan kata-kata mahupun perbuatan dan lain-lain lagi. Bersyukur pula adalah tanda kehambaan kita kepada Allah. ‘Ubudiyyah (kehambaan) adalah proses pembentukan jiwa kita berubah daripada rasa kita ini menjadi tuan kepada makhluk ke arah menjadi hamba yang penuh hina apabila mengadap Allah Yang Maha Esa. Ianya adalah proses menjadikan kita ‘sedar diri’ bahawa hakikat kita adalah makhluk yang lemah, wajib bergantung kepada Allah sebagai Al-Khaliq, pencipta yang agung. Sebab itulah ketika berpuasa kita akan merasa lapar dan dahaga supaya kita sedar siapakah yang sebenarnya memberikan nikmat kenyang serta rezeki makanan dan minuman. Dialah Allah yang mengurniakan segala rezeki dan nikmatnya kepada kita sepertimana firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 60 :

Maksudnya : “dan (ingatlah) berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah jualah Yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”

Semoga Ramadhan berjaya mengajar kita erti kesusahan, erti lapar, erti syukur dan erti ketakwaan yang sebenar, semoga kita semua kembali kepada Allah dengan fitrah, suci daripada dosa dan lantas kita dimasukkan ke dalam syurga bersama-sama orang yang bertaqwa.

Salam Malam Seribu Bulan.