Alhamdulillah, segala puja dan sembah hanyalah untuk Allah yang telah merahmati kita dengan mengurniakan satu bulan keampunan, Ramadhan yang penuh berkat, keberkatan dengan adanya satu malam yang lebih baik ganjarannya daripada 1000 bulan, jua kerana turunnya mukjizat terbesar buat Rasulullah s.a.w iaitu Al-Quran yang mulia berupa kata-kata Allah yang penuh hikmah, menjadi petunjuk kepada seluruh manusia tidak kira apakah pangkatnya atasan atau bawahan, apakah status sosialnya kaya ataupun miskin, bangsawan ataupun marhaen, apakah status agamanya muslim atau kafir, semuanya tertakluk di bawah petunjuk Al-quran yang satu ini, yang menerangkan secara membezakan apakah itu kebenaran dan apakah ia kebatilan sepertimana firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 :
Maksudnya : “ (Masa yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar Dengan yang salah.”
Para pembaca yang dirahmati Allah azzawajalla,
Madrasah Ramadhan menawarkan satu pakej pembelajaran berkesan dengan matlamat untuk melahirkan umat Islam yang bertaqwa dan bersyukur. Bertaqwa dalam erti kata menunaikan segala perintah Allah seperti solat, puasa dan zakatdan seumpamanya, dalam masa yang sama meninggalkan segala larangannya seperti tidak berpuasa, menipu dalam berjual beli, tidak menutup aurat dengan sempurna, menyakiti saudara seagama dengan kata-kata mahupun perbuatan dan lain-lain lagi. Bersyukur pula adalah tanda kehambaan kita kepada Allah. ‘Ubudiyyah (kehambaan) adalah proses pembentukan jiwa kita berubah daripada rasa kita ini menjadi tuan kepada makhluk ke arah menjadi hamba yang penuh hina apabila mengadap Allah Yang Maha Esa. Ianya adalah proses menjadikan kita ‘sedar diri’ bahawa hakikat kita adalah makhluk yang lemah, wajib bergantung kepada Allah sebagai Al-Khaliq, pencipta yang agung. Sebab itulah ketika berpuasa kita akan merasa lapar dan dahaga supaya kita sedar siapakah yang sebenarnya memberikan nikmat kenyang serta rezeki makanan dan minuman. Dialah Allah yang mengurniakan segala rezeki dan nikmatnya kepada kita sepertimana firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 60 :
Maksudnya : “dan (ingatlah) berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah jualah Yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”
Semoga Ramadhan berjaya mengajar kita erti kesusahan, erti lapar, erti syukur dan erti ketakwaan yang sebenar, semoga kita semua kembali kepada Allah dengan fitrah, suci daripada dosa dan lantas kita dimasukkan ke dalam syurga bersama-sama orang yang bertaqwa.
Salam Malam Seribu Bulan.
No comments:
Post a Comment